Wednesday, June 2, 2010

Kemiskinan dalam Konteks Pembangunan Negara

Keynote Address pada Seminar Kemiskinan Luar Bandar anjuran Institut Pertanian Malaysia di Wisma Negeri Alor Setar, 23 April 1983.

Pengerusi Majlis, Saudara-saudara yang saya hormati sekalian,

Tahniah

Saya mengucapkan tahniah kepada Institut Pertanian Malaysia yang telah menganjurkan seminar ini dan memilih Alor Setar sebagai tempat mengadakannya. Walaupun saya bukan seorang pakar di dalam bidang ekonomi atau sociology, jauh sekali dalam bidang pertanian, kemiskinan dan penghidupan di luar bandar adalah sebahagian dari pengalaman hidup saya.

Sudut Pandangan

Oleh itu, walaupun pandangan saya di waktu menyampaikan keynote address ini mungkin tidak sampai ke tahap yang diharapkan oleh golongan akademik tetapi saya berharap ianya akan dianggap sebagai satu lagi sudut pandangan yang mungkin memberi faedah.

Suka Mendengar

Sebagai Menteri yang bertanggungjawab dalam hal pembangunan luar bandar saya lebih suka mendengar pandangan dari pembentang-pembentang kertas kerja yang lain di dalam seminar ini supaya saya dapat menjadikannya bahan panduan apabila merancang dan melaksanakan program di bawah Kementerian.

Institut Pengajian Desa

Pada hari Sabtu, 16hb April 1983 saya telah merasmikan penutupan Seminar Kebangsaan mengenai Peranan Sains Sosial dalam Pembangunan Negara di Universiti Pertanian Malaysia dan saya telah mencadangkan di dalam majlis penutup itu supaya satu Jawatankuasa ditubuhkan di peringkat Kementerian untuk mengkaji cara-cara melaksanakan semua cadangan yang terdapat dari rumusan yang dibuat pleh peserta seminar. Jawatankuasa ini juga akan berusaha menubuhkan Institut Pengajian Desa. Mesyuarat pertama Jawatankuasa ini akan diadakan pada 4hb Mei 1983.

Kerjasama

Saya berharap pembentang kertas kerja di dalam Seminar ini juga dapat dipilih menduduki jawatankuasa itu dan semua kertas kerja dapat turut dijadikan panduan oleh jawatankuasa.

Saya juga berharap semoga Institut Pertanian Malaysia akan bekerjasama dengan semua badan-badan lain dalam usaha untuk mencapai matlamat yang sama bagi menyelesaikan masalah kemiskinan masyarakat desa.

Ide Asli

Seruan saya ini menjadi relevan kerana di waktu MARA menubuhkan Institut Usahawan Bumiputera ada pihak dari pertubuhan lain yang sudah hampir tidak kelihatan lagi di masa ini mendakwa ide itu tidak original dan IUB menjadi saingan kepada organisasi mereka.

Memanglah benar ide Institut Usahawan Bumiputera itu tidak mungkin asli atau original kerana beratus-ratus institut seperti itu telah lama ditubuhkan di dunia.