Wednesday, January 27, 2010

Ucapan Pembukaan Dalam Mesyuarat Agung Shamelin Pada 27HB. Disember, 1981.

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalaamu'alaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh.

Yang mulia ibu dan bapa yang turut hadir sebagai penyokong Shamelin,
Saudara Pengerusi Majlis,
Saudara saudara pemimpin dan ahli-ahli Shamelin yang dihormati.

DIHEMPAS BADAI DILAMBUNG GELOMBANG

Hari ini ialah hari yang bersejarah bagi Shamelin, malah inilah perjumpaan terbesar yang pernah diadakan oleh mana-mana koperasi dalam sejarah negara sejak Parameswara mendarat di Melaka. pada hari ini kita dapat merenung semula pengalaman Shamelin sejak ditubuhkan pada 13hb. April, 1971.

Banyak sudah pengalaman Shamelin sejak ianya ditubuhkan 10 tahun yang lalu.

Hingga hari ini ada seorang yang terfikir Shamelin sudah tiada lagi. Ada yang mengatakan ianya telah mati tanpa kubur. Ada yang mendoakan semoga Shamelin akan hidup semula, tetapi ada juga yang mengharapkan semoga ianya tidak akan hidup lagi.


Walaupun apa fikiran, pandangan dan harapan yang ada pada ahli dan orang ramai adalah nyata Shamelin masih ada, masih bernafas malah sudah menjadi segar bugar untuk bangun tegak semula di tengah-tengah masyarakat, setelah dihempas gelombang dan ribut taufan dunia perniagaan yang kejam, yang tidak tahu simpati atau belas kasihan.

Pada hari ini ahli-ahli Shamelin yang berhati tabah dan suci harus bersyukur dan merasa gembira kembali. Bagi yang sudah pudar semangat, doakanlah agar semangat itu membakar terus dan bagi yang sudah patah hati moga-moga terasa seolah-olah dihidukan kembali.

Bagi yang sudah berputus asa dana merasai bahawa Shamelin telah mati, saya berharap perasaan gundah itu akan terubat bersama kemeriahan peristiwa hari ini, malahan peristiwa ini akan mengobarkan semangat mereka supaya sanggup untuk terus berjuang lagi

No comments:

Post a Comment