Wednesday, June 2, 2010

Kemiskinan dalam Konteks Pembangunan Negara

Keynote Address pada Seminar Kemiskinan Luar Bandar anjuran Institut Pertanian Malaysia di Wisma Negeri Alor Setar, 23 April 1983.

Pengerusi Majlis, Saudara-saudara yang saya hormati sekalian,

Tahniah

Saya mengucapkan tahniah kepada Institut Pertanian Malaysia yang telah menganjurkan seminar ini dan memilih Alor Setar sebagai tempat mengadakannya. Walaupun saya bukan seorang pakar di dalam bidang ekonomi atau sociology, jauh sekali dalam bidang pertanian, kemiskinan dan penghidupan di luar bandar adalah sebahagian dari pengalaman hidup saya.

Sudut Pandangan

Oleh itu, walaupun pandangan saya di waktu menyampaikan keynote address ini mungkin tidak sampai ke tahap yang diharapkan oleh golongan akademik tetapi saya berharap ianya akan dianggap sebagai satu lagi sudut pandangan yang mungkin memberi faedah.

Suka Mendengar

Sebagai Menteri yang bertanggungjawab dalam hal pembangunan luar bandar saya lebih suka mendengar pandangan dari pembentang-pembentang kertas kerja yang lain di dalam seminar ini supaya saya dapat menjadikannya bahan panduan apabila merancang dan melaksanakan program di bawah Kementerian.

Institut Pengajian Desa

Pada hari Sabtu, 16hb April 1983 saya telah merasmikan penutupan Seminar Kebangsaan mengenai Peranan Sains Sosial dalam Pembangunan Negara di Universiti Pertanian Malaysia dan saya telah mencadangkan di dalam majlis penutup itu supaya satu Jawatankuasa ditubuhkan di peringkat Kementerian untuk mengkaji cara-cara melaksanakan semua cadangan yang terdapat dari rumusan yang dibuat pleh peserta seminar. Jawatankuasa ini juga akan berusaha menubuhkan Institut Pengajian Desa. Mesyuarat pertama Jawatankuasa ini akan diadakan pada 4hb Mei 1983.

Kerjasama

Saya berharap pembentang kertas kerja di dalam Seminar ini juga dapat dipilih menduduki jawatankuasa itu dan semua kertas kerja dapat turut dijadikan panduan oleh jawatankuasa.

Saya juga berharap semoga Institut Pertanian Malaysia akan bekerjasama dengan semua badan-badan lain dalam usaha untuk mencapai matlamat yang sama bagi menyelesaikan masalah kemiskinan masyarakat desa.

Ide Asli

Seruan saya ini menjadi relevan kerana di waktu MARA menubuhkan Institut Usahawan Bumiputera ada pihak dari pertubuhan lain yang sudah hampir tidak kelihatan lagi di masa ini mendakwa ide itu tidak original dan IUB menjadi saingan kepada organisasi mereka.

Memanglah benar ide Institut Usahawan Bumiputera itu tidak mungkin asli atau original kerana beratus-ratus institut seperti itu telah lama ditubuhkan di dunia.

Takut Saingan

Sikap mendabek dada kerana mengharapkan satu-satu ide yang keluar itu asli atau original dan takut kepada saingan dalam usaha menuju satu-satu matlamat yang murni adalah penghalang kepada tercapainya matlamat itu sendiri. Kita harus bekerjasama untuk menyelesaikan masalah-masalah kemiskinan orang-orang Melayu dan orang-orang luar bandar kerana kemiskinan adalah masalah asli yang original.

Saudara-saudara sekalian,

Masa yang Paling Tepat

Masa ini adalah masa yang paling tepat bagi kita membincangkan masalah kemiskinan luar bandar kerana pada waktu ini banyak anak-anak dari luar bandar dan dari keluarga yang miskin yang sudah menjadi pakar di dalam berbagai-bagai bidang ilmu pengetahuan. Bagi mereka perbincangan mengenai kemiskinan dan masalah luar bandar adalah perbincangan mengenai latar belakang mereka sendiri dan tidak hanya merupakan riadhah intelektual yang berasaskan pada pembacaan semata-mata.

Kajian Ilmiah

Dalam masa 10 hingga 20 tahun yang akan datang, anak-anak kepada cerdik pandai yang berkedudukan sekarang ini yang berasal dari kampung, kerana kemudahan-kemudahan yang diperolehi ibu bapa mereka, akan menemui giliran mereka menduduki tempat-tempat yang tinggi di dalam institusi-institusi pengajian tinggi dan menjadi pakr-pakar. Pada waktu itu, apabila mereka membincangkan mengenai kemiskinan ianya tidak lagi dari pengalaman mereka sendiri atau dari latar belakang mereka sendiri tetapi lebih dari kajian ilmiah semata-mata. Mereka ini bercerita mengenai kemiskinan dan tidak merasai kemiskinan dan pengalaman mengenai kemiskinan bagi mereka adalah sama seperti pengalaman seorang yang membaca novel Shahnon atau buku cerita David Copperfield.

Orang Miskin Hairan

Sekarang inipun kita mendengar banyak orang yang bercakap mengenai kemiskinan dengan cara yang orang miskin sendiri menjadi hairan apabila mendengarnya, kerana penyelesaian kepada masalah-masalah orang miskin biasanya tidak dapat diterima oleh orang miskin itu sendiri.

Perubahan Sikap

Di dalam banyak seminar kita mendengar bahawa sikap adalah faktor yang penting untuk diberi perhatian kerana tanpa perubahan sikap kita tidak dapat menyelesaikan banyak masalah di luar bandar. Saya pernah terbaca potongan kata-kata bahawa 'Poverty is a state of mind'. Sebelum seseorang itu ingin menyelesaikan masalah kemiskinannya maka usaha perlu dibuat untuk menanamkan keinginan padanya untuk merubah nasibnya. Dengan lahirnya keinginan untuk merubahkan nasib oleh seseorang yang disertai pula dengan usaha yang gigih olehnya sendiri maka peluang-peluang yang ada atau diadakan boleh dieksploitasikan.

Siapa Ubah Siapa

Soalnya, siapakah yang akan merubah sikap siapa?

Golongan manakah yang harus berusaha untuk merubah sikap golongan yang lain? Betulkah kata-kata orang bahwa untuk menyenangkan orang-orang miskin maka mereka perlu merubah sikap? Apakah orang-orang miskin sahaja yang perlu merubah sikap? Apakah orang yang tidak miskin boleh dipertanggungjawabkan untuk merubah sikap orang miskin? Apakah orang-orang yang tidak miskin tidak perlu merubah sikap? Bagaimana pula dengan sikap cerdik pandai dan orang berkuasa?

Sikap Orang Tidak Miskin

Jika perubahan sikap itu perlu pada orang-orang miskin sahaja dan mereka yang tidak miskin tidak perlu merubah sikap dan boleh dipertanggungjawabkan untuk merubah sikap orang miskin, saya ingin menjemput para peserta seminar untuk merenung sekejap sikap orang yang boleh dikatakan tidak miskin yang meminjam wang MARA. Dari jumlah 51,553 peminjam MARA pada akhir bulan September 1982 hanya 6,157 sahaja yang membayar pinjaman secara betul sebagaimana yang dipersetujukan sedangkan 45,396 peminjam tidak memenuhi janji walaupun kebanyakannya berjaya dalam usaha mereka. Ini bererti mereka yang tidak miskin belum pasti boleh dipertanggungjawabkan untuk merubah sikap orang miskin kerana mereka sendiri perlu merubah sikap.

Sikap Cerdik Pandai

Jika kita berpindah kepada orang-orang cerdik pandai pula maka untuk mengetahui samaada yang cerdik dan yang pandai sudahpun berubah sikap dan dapat dipertanggungjawabkan bagi merubah sikap orang-orang yang masih miskin, maka kita akan dapati dari jumlah 19,905 orang yang telah mendapat biasiswa MARA dan lulus di dalam peperiksaan hanya 4,896 orang yang tampil ke depan untuk membayar hutang mereka mengikut perjanjian. Ada yang terpaksa dibawa ke mahkamah walaupun sudah menjadi pensyarah Universiti. Ini bererti ilmu pengetahuan yang ada pada cerdik pandai juga belum cukup untuk merubah sikap mereka, apatah lagi untuk kita harapkan mereka ini berusaha merubah sikap orang lain. Mungkin ada orang yang menyatakan ini hanya sebahagian sahaja dari contoh yang tidak boleh memberi gambaran secara menyeluruh. Jika ini benar maka kita tidak juga tidak boleh menyatakan orang-orang miskin sahaja harus merubah sikap setelah kita mengkaji beberapa ribu keadaan orang-orang miskin sahaja. Tetapi kita tidak boleh menyatakan jumlah yang saya sebutkan ini kecil kerana puluhan ribu bukanlah angkakecil untuk kita ketepikan dengan begitu sahaja.

Sikap Pegawai

Memandang kepada prestasi pinjaman MARA untuk perniagaan dan pelajaran ada pula yang ingin menyalahkan MARA kerana kurang cekap memungut hutang. Kurang cekapnya kakitangan MARA itu sendiri jika dipersoalkan bererti perubahan sikap juga perlu di kalangan pegawai-pegawai dan kakitangan kerajaan.

Sikap yang Berpengaruh dan Berkuasa

Nampaknya bukan sahaja orang-orang miskin harus merubah sikap tetapi juga orang-orang tidak miskin dan juga orang cerdik pandai serta kakitangan kerajaan. Bagaimana pula dengan orang-orang yang berpengaruh dan berkuasa? Saya mempunyai pengalaman yang cukup dalam memerhati penyelewengan-penyelewengan berlaku dalam koperasi-koperasi di seluruh negara dan sebahagian dari mereka yang menyeleweng itu adalah terdiri dari orang-orang yang berpengaruh dan kadangkala berkuasa. Malahan mereka tidak miskin dan mereka boleh digolongkan sebagai kalangan cerdik pandai dan ada juga dari kalangan mereka yang terdiri dari yang memegang jawatan tinggi di sana sini. Mereka berselerak di seluruh negara.

Jangan Rugi Kerana Penyelewengan

Kes yang paling ketara yang masih menjadi beban di atas bahu saya ialah kes Bank Rakyat di mana lebih  $75 juta kerugian yang tertimbun kerana pemnyelewengan masih belum tertutup sehingga sekarang. Beratus-ratus ribu pemegang saham Bank Rakyat secara lansung atau tidak langsung, harus menunggu barangkali sehingga 10 tahun lagi sebelum mereka boleh menikmati keuntungan dari pelaburan mereka.

Insya Allah di bawah pimpinan sekarang yang Bersih, Cekap dan Amanah, BAnk Rakyat akan berjaya.

Sebagai seorang yang pernah berniaga, saya tidak kecewa jika kerugian besar berlaku di dalam urusan perniagaan dan perusahaan asalkan tidak ada penyelewengan. Tetapi apabila ada penyelewengan di kalangan cerdik pandai dan pemimpin maka tanda tanya akan timbul mengenai siapakah yang akan dipertanggungjawabkan untuk merubah nasib kita semua.

Sikap Tokoh Politik

Marilah kita menjenguk sekejap sikap kita dalam berpolitik. Baik di Pusat-pusat Pengajian Tinggi mahupun di kampung-kampung terdapat perhubungan yang tegang, atau tidak ada hubungan langsung, antara tokoh-tokoh yang berbeza aliran politik. Walaupun di dalam urusan hidup bermasyarakat politik sudah menjadi faktor pemisah antara sesama kita.

Barangkali kita mengamal demokrasi tanpa memiliki sikap yang demokratik, kerana kita tidak tahu cara terbaik menerima kekalahan dan menyambut kemenangan.

Sikap begini di kalangan tokoh politik juga memerlukan perubahan sikap.

Alim Ulama

Di waktu saya kecil-kecil dulu saya pernah diajar bahawa alim ulama itu selalu berkata yang benar.

Agama kita meyeru:

'Berkatalah dengan yang benar walau pahit sekalipun'.

Tetapi apabila alim ulama dari semua parti politik lebih rajin menegur ke luar partinya daripada menegur ke dalam partinya, maka cara menegur yang berat sebelah, kerana kepentingan politik, membatalkan kelayakan mereka untuk dipanggil alim ulama. yang dipanggil alim ulama tidak lagi berkata yang benar tetapi mengikut selera parti.

Apatah lagi dengan adanya musim sekarang yang dengan mudahnya kita namakan seseorang itu ulama.

Malahan kita sedang melihat perkelahian antara alim ulama dari satu parti pun begitu sengit dalam menentukan siapa lebih alim dan siapa lebih ulama; sedangkan Islam menyeru kepada persaudaraan.

Golongan ini juga memerlukan perubahan sikap.

Faktor Sikap

Saya telah menyentuh mengenai sikap sebagai faktor yang dapat menentukan arus kemajuan dalam menyelesaikan kemiskinan. Saya juga telah meraba-raba untuk mencari golongan yang boleh dipertanggungjawabkan untuk berusaha merubahkan sikap ini. Semua ini saya fikirkan perlu kerana saya sudah merasa agak gelisah memandangkan kemajuan yang begitu lambat tercapai.

Sasaran Lebih Tinggi

Walaupun jika dibandingkan dengan negara-negara lain yang sedang membangun kita sudah berjaya tetapi kita tidak harus berpuas hati dan kita perlu meletakkan sasaran kita di peringkat yang lebih tinggi dalam usaha kita untuk berkhidmat kepada mayarakat.

Untuk mencapai matlamat yang lebih tinggi dan untuk menyelesaikan masalah kemiskinan luar bandar yang masih ada inilah maka adanya golongan yang bergiat merubah sikap menjadi bertambah penting untuk melahirkan kesedaran. Kesedaranlah yang akan melahirkan cara dan tenaga menuju penyelesaian.

Masalah dari Sejarah

Selain daripada menghadapi masalah untuk mengesan golongan yang akan membawa perubahan kita bertembung kembali dengan masalah-masalah yang sedia diukir sejarah. Negara kita yang berbilang bangsa dengan penduduk yang berlainan bahasa ibunda dan memeluk agama yang berbeza-beza ialah sebuah negara yang unik kerana ia mempunyai kontradiksi yang tidak mungkin dapat dilebur walau dengan revolusi darah sekalipun.

Untuk menghadapi dan menyelesaikan masalah yang unik ini kita memerlukan sikap yang sungguh boleh diharapkan dan kesedaran yang seungguh mendalam.

Ahli Ekonomi Scotland

Apakah kita sudah sedar sehingga sikap kita sudah berubah?

Saya ingin menarik perhatian saudara-saudara kepada satu potongan karangan oleh Alexander Tytler yang telah dibuat sewaktu 13 wilayah jajahan di Benua Amerika Utara mendapat kemerdekaan dari Britain. Tytler, seorang ahli ekonomi Scotland telah mengesahkan mengenai Republik Athenian kira-kira 2,000 tahun sebelum waktu itu, katanya:

Demokrasi

"Demokrasi itu tidak boleh wujud sebagai satu sistem kerajaan yang kekal. Ianya hanya wujud sehingga pengundi-pengundi mendapati mereka boleh mengundi untuk mendapatkan kemudahan-kemudahan yang mewah dari tabung negara.

Diktator

Dari saat itu golongan majoriti akan mengundi calun yang dapat menjanjikan kemewahan yang maksima dari tabung negara sehingga demokrasi sendiri selalu musnah kerana dasar kewangan yang longgar yang akan diikuti dengan sistem diktator.

Tamaddun

Purata umur tamaddun tertua di dunia adalah sekitar 200 tahun. Negara-negara telah mengalami urutan kemajuan seperti berikut:

Dijajah Hingga Dijajah

Dari hidup dibelenggu atau dijajah kita akan sampai kepada kebangkitan rohani; dari kebangkitan rohani kita akan menjadi sungguh berani; dengan keberanian kita akan merdeka; dengan kemerdekaan datang kemewahan; dari kemewahan akan lahir sifat tamak dan haloba; setelah tamak kita akan kepuasan; setelah puas kita menjadi tidak peduli; kerana tidak peduli kita mula bergantung kepada orang lain dan dari bergantung kepada orang lain kita akan kembali terjajah dan dibelenggu.

Jika urutan kemajuan ini benar maka sementara kita belum selesai menjawab soalan siapakah yang harus bertanggungjawab merubah sikap, di waktu negara sedang pesat membangun, kita dapati perbezaan dalam masayarakat kita semakin ketara kerana kemajuan masyarakat mengikut momentum kemampuan masing-masing, sehingga kita masing-masing berada di berbagai tahap pencapaian.

Tahap Yang Berbeza

Apa yang membimbangkan ialah sementara masayarakat kita berada di tahap yang berbeza, mengikut kemampuan pencapaian masing-masing, kita yang berada di tahap yang berbeza ini tidak mahu memahami adanya perbezaan tahap dan perlunya kita yang berada di tahap-tahap yang berlainan bekerjasama sesama kita untuk mengekalkan nilai-nilai yang baik jika ada pada mana-mana tahap.

Kita Angkuh

Sebaliknya masing-masing angkuh dengan pencapaian sendiri sehingga yang jiwa masih terjajah menghina kemerdekaan. Yang sedang menghayati kebangkitan rohani mencemuh kekayaan. Yang sedang berani menentang peradaban. Yang sedang mewah lupa daratan. Yang tamak dan haloba tidak sedar diri. Yang sudah puas menjadi tidak bertanggungjawab. Yang sudah mempunyai sikap tidak peduli hanya mementingkan kepentingan diri dan yang bergantung kepada orang lain tidak ada daya usaha untuk berdikari.

Akibat daripada kemajuan yang begitu pesat kita menambah lagi sebab-sebab berlakunya percanggahan antara kita di dalam masyarakat. Tetapi kemiskinan masih ada.

Perlu Bersatu

Untuk menyelesaikan masalah kemiskinan inilah kerajaan telah dan sedang menyelesaikan pembangunan prasarana.

Kerajaan juga sedang berusaha meningkatkan pendapatan penduduk dengan memberi pekerjaan dan pasaran untuk pengeluaran mereka. Kerajaan sedang giat berusaha untuk mengembangkan aktiviti Karyaneka dan industri kampung.

Rencana pembangunan tanah terus diusahakan dan rancangan kemajuan pelajaran terus dipesatkan.

Di sana sini terdapat orang kita yang perlu dipaksa walaupun untuk senang.

Untuk menjayakan semua ini kita perlu bersatu tekad dan tenaga.

Pemimpin

Kita perlu pemimpin yang terlatih di semua peringkat sebagai kader pembangunan. Pemimpin tidak semestinya berada di peringkat negara dan negeri sahaja. Kita perlu melatih ramai pemimpin di peringkat daerah, mukim, kampung dan keluarga.

Kerana, mengikut Napoleon Bonaparte, watak pemimpin adalah penting sekali, dialah ketua dan segala-galanya bagi angkatan tenteranya. Bangsa Gaul tidak ditawan oleh Tentera Roman tetapi oleh Caesar. Bukan di depan askar Carthaginian Rom telah gementar, tetapi di depan Hannibal. Bukan angkatan tentera Perancis yang sampai ke Weser dan Inn, tetapi Turenne. Prussia tidak dipertahankan selama tujuh hari dari serangan tiga kuasa Eropah yang kuat oleh angkatan bersenjatanya, tetapi oleh Frederick The Great.

Napoleon juga adalah pemimpin negara yang berjaya di zamannya (walaupun ada cacatnya).

Marilah kita bersama-sama pihak kerajaan, kalangan swasta, golongan intelektual, masyarakat kota dan luar bandar melatih pemimpin di semua peringkat.

Saya menawarkan jentera kementerian saya dalam usaha ini di peringkat permulaan.

Jika usaha mekatih pemimpin ini ditumpukan di luar bandar maka masalah kemiskinan di luar bandar dapat diselesaikan.

Pemimpin-pemimpin kecil inilah jika dilatih oleh kita semua sebagai kader pembangunan dapat melahirkan revolusi semangat yang membawa kepada perubahan sehingga masyarakat kita dapat berdikari.

Terima kasih.

No comments:

Post a Comment